Sejarah
SEJARAH FELDA CHEMPLAK
Felda Chemplak mula dibangunkan padatahun 1962 dan mula diduduki pada tahun 1963. Mengikut sejarah, nama kampung ini diambil sempena nama salah seorang Panglima majapahit yang telah berhijrah ke Johor dan telah sampai ke Labis iaitu Daen Cempelak. Kawasan yang dulunya hutan tebal, kini telah dibangunkan menjadi Tanah Rancangan dan dikenali sebagai Felda Chemplak. Bilangan penduduk yang mula-mula meneroka tanah rancangan ini ialah seramai 413 orang yang kebanyakannya berasal dari Daerah Batu Pahat dan Muar. Luas keliling kawasan kampung ini kira-kira 2,063.74 hektar, meliputi 1,621.4 hektar kawasan tanaman/pertanian dan 172.64 hektar kawasan petempatan. Felda Chemplak terletak dalam mukin Labis, Daerah Segamat dan berada di bawah naungan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Tenang Parlimen Labis. Sebagai sebuah Tanah Rancangan Felda, kampung ini tertakluk di bawah pengurusan Felda yang berorentasikan pertanian sebagai fokus utama.
Asal Usul Nama Labis
Kononnya berpuluh-puluh tahun dahulu, Labis belum lagi dikenali sebagai nama ‘Labis’ sehinggalah menurut cerita orang tua-tua bahawa asal nama tempat ini adalah daripada perkataan ‘labi-Iabi’.Pada masa itu kawasan Labis masih diliputi hutan tebal. Binatang-binatang liar masih berkeliaran dan di situ kawasan paya terdapat banyak labi-labi. Labi-labi ialah sejenis binatang yang mempunyai bentuk badan serupa dengan kura-kura dan tuntong.
Menurut cerita daripada orang-orang dahulu, kawasan yang menjadi tumpuan labi-labi ialah Sungai Paya Merah. Pada ketika itu, Sungai Paya Merah ini ditumbuhi sejenis rumput yang berupa seperti pokok tebu kecil setinggi tiga ela. Tetapi yang menghairankan, rumput ini hanya tumbuh di tepi sungai tanah paya itu dan tidak terdapat di tepi sungai lain. Jenis rumput ini telah menjadi makanan kegemaran labi-labi. Anehnya, apabila rumput ini hampir mati layu, ia akan bertukar menjadi warna merah. Selepas layu, ia akan terendam ke dalam sungai, warna merah yang ada pada tumbuhan ini akan meluntur keluar dan mewarnai air sungai menjadi merah seperti darah.daripada sinilah, orang kampung menamakan sungai itu sebagai Sungai Paya Merah dan kampung mereka sebagai Labi-labi..
Kira-kira pada kurun kesembilan belas, orang putih melawat Kampung Labi-labi. Mereka hairan dan terperanjat melihat banyak labi-labi merayap lalu bertanya akan nama binatang tersebut. Penduduk disitu pun menjawab, “Labi-labi tuan,” berulang kali. Tetapi pegawai orang putih itu menggelengkan kepala seolah-olah tidak faham.Kemudian, pegawai itu pun berfikir sejenak dan tersenyum, “Labis, oh these are Labis.” Pada pendapat orang putih kata jamak perkataan labi-labi dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai Labis. Maka, nama Labi-labi yang digunakan kemudian ditukarkan kepada Labis atas nasihat pegawai Inggeris itu.
Maka, orang ramai pun datang beramai-ramai membuka petempatan di sekitar paya itu. Sawah padi telah dibuka. ‘Rumput merah’ yang dikenali oleh penduduk kampung dibersihkan dan labi-labi yang banyak itu kehilangan sumber makanan utama. Selepas kejadian itu, bilangan labi-labi kian berkurangan. Akhirnya labi-labi tidak lagi kelihatan di Labis sehinggalah sekarang.
Kampung Tenang telah dibuka oleh Mohamad Ariffin Bin Allauddin atau juga dikenali sebagai Tok Tenang, pada awal abad ke-19 iaitu dalam tahun 1806 Masihi bersamaan 22 Ramadhan 1221 Hijrah. Dari saat itu Kampung Tenang mula membangun mengikut peredaran masa.
Tenang telah ditadbirkan mengikut susunannya sendiri dimana Mohd Ariffin sebagai Ketua Pentadbir dan Ketua Agama. Keadaan ini berubah semasa pentadbiran anak Mohd. Ariffin iaitu Hj. Abu Bakar bin Mohd. Ariffin setelah setelah Perang Jementah berlaku pada tahun beliau berumur 117 tahun. Semasa pentadbiran Hj. Abu Bakar bin Mohd. Ariffin. Ketua Pentadbiran dipegang oleh beliau sendiri sementara Ketua Agama dipegang oleh abangnya iaitu Abu Hassan bin Mohd Ariffin.
Semasa Perang Jementah berlaku, Tenang menyebelahi Johor, menentang Segamat, Jementah dan Kesang. Setelah Segamat dan Jementah jatuh
ke tangan Johor, Hj. Abu Bakar Bin Mohd. Ariffin telah dilantik oleh Maharaja Abu Bakar sebagai Penghulu Mukim Tenang/Juasseh. Hj. Abu
Bakar tidak bersetuju dengan sikap Maharaja Abu Bakar dan telah melepaskan jawatannya sebagai penghulu Tenang/Juasseh kepada anak
saudaranya iaitu Yaakob bin Abu Hassan. Semasa Dato Seri Amar Diraja Johor menjadi Menteri Besar Johor pemetaan Negeri Daerah dan
Mukim dibuat semula. Mulai dari saat itu Mukim Tenang/Juasseh dikenali sebagai Mukim Labis.
Sumber daripada : http://www.mdlabis.gov.my/asal-usul-labis